Thursday 26 April 2012

Islam Agama Yang Syumul; Bukan Agama Yang Tempang Dan Sekular



Jika anda menilai di antara dua insan yang berlainan imej, anda akan tertanya-tanya siapakah di antara keduanya yang mewakili nilai-nilai Islam sebenar? Sungguh ramai yang keliru manakah yang Islamik dan tidak Islamik. Di antara seorang yang rajin solat dhuha ketika dalam keadaan bertugas dan bekerja, atau yang meninggalkannya kerana tidak mahu membuat pelanggan menunggu hingga menjejaskan kerja dan khidmatnya. Di antara orang yang mengantuk ketika mesyuarat kerana semalaman bertahajud atau orang yang cergas lagi amanah tetapi tidak sembahyang. Ada pula yang kaki masjid tetapi pemalas dan tidak bertanggungjawab terhadap keluarga. Sedangkan yang berjaya dalam perniagaan selamba saja lupakan Tuhan. Yang bertudung kadang-kadang sama perangai dengan yang bertelanjang, bahkan lebih teruk lagi. Hingga mereka yang membenci tudung dan hijab beralasan dan membuat hukum sendiri; ”Baik tudungkan hati sebelum kepala!”
Semua ajaran Islam menjadi begitu kabur dan luntur di dalam pemikiran mereka. Disebabkan seseorang yang mencemarkan imej Islam maka ramai yang terlalu emosi hingga menidakkan syariat. Begitulah keadaannya ketika menilai paras keislaman seseorang, kadang-kadang kita tertipu oleh pandangan mata zahir semata. Yang lemah-lembut kita kata baik budi walaupun jiwanya terlalu lembut hingga takut menyatakan mana yang hak dan batil sehingga ramai orang yang berpeluang menzaliminya. Sedangkan yang tegas dan rasional dipandang masyarakat sebagai orang yang biadab, walaupun dengan cara itu dia boleh menegakkan yang makruf dan membela maruahnya. Bagaimanakah seharusnya seseorang menegakkan jati dirinya sebagai Muslim sebenar yang mengikut cara dan Sunnah Rasulullah SAW?


Umar bin al-Khattab RA pernah direkomen dengan seorang pemuda yang akan dipilih sebagai pekerja dalam pemerintahan beliau. Mereka yang memilih pemuda itu berkata: “Dia seorang muslim yang amanah, dia sentiasa berada di masjid untuk beribadah.” Umar berkata: “Adakah kamu semua pernah bersama dengannya untuk waktu yang lama? Adakah sesiapa yang pernah bermusafir dengannya? Sesungguhnya kamu semua belum lagi mengenali pemuda itu!
Islam tidak menilai seseorang yang amanah hanya dengan sejuzuk ibadah yang dilakukannya tanpa melihat dari segenap aspek-aspek lain yang mendokong kecemerlangan peribadi muslim padanya. Di sinilah Islam meletakkan sistem akhlak sebagai penanda aras kecemerlangan peribadi muslim. Tiga penanda aras yang lain bagi menilai peribadi Muslim ialah akidah, ibadah dan muamalah. Setiap muslim yang cemerlang adalah berpaksikan empat kekuatan tersebut. Sewajarnya seorang muslim menyempurnakan peribadinya dengan hanya mengambil contoh teladan seorang insan agung, Rasulullah SAW. Tiada yang lain menjadi sandaran dan kekuatan melainkan peribadi baginda SAW.
Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: ”Tiada seorang Nabi pun di kalangan mereka yang diutuskan kepada umat sebelumku melainkan mereka mempunyai para pengikut dan para sahabat yang mengikut sunnahnya dan meneladaninya. Kemudian akan ada generasi selepasnya, yang mengatakan sesuatu yang mereka tidak lakukan serta melakukan apa yang tidak disuruh. Barangsiapa yang menentang mereka dengan tangannya bermakna dia adalah seorang yang beriman, sesiapa yang menentang mereka dengan lidahnya maka dia adalah beriman dan sesiapa yang menentang dengan hatinya maka dia adalah seorang yang beriman. Tidak ada yang selain dari itu keimanan padanya walau sebesar sebiji sawi.” (Hadis riwayat Muslim)
Jika begitu, setiap Muslim sepatutnya bertanya dalam hati saat dia bermaksud melakukan apa-apa jua perbuatan, adakah ia bersesuaian dengan Sunnah Rasul-Nya tanpa rasa takut dan malu kerana tohmahan orang-orang yang meninggalkan Sunnah. Seorang muslim juga amat teliti menyaring unsur-unsur asing yang mempengaruhi perilakunya. Dengan ilmu dan kajian dia mampu memisahkan mana yang menepati ajaran Islam dan tidak menepati. Sebagaimana sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: “Kamu akan mengikuti sunnah umat sebelum kamu sejengkal demi sejengkal, sehasta demi sehasta sehinggakan jikalau mereka memasuki lubang biawak nescaya kamu akan mengikuti mereka! Para sahabat bertanya: Adakah mereka itu kaum Yahudi dan Nasrani, wahai Rasulullah? Sabda baginda SAW: Ya, siapa lagi kalau bukan mereka?” (Hadis riwayat al-Bukhari dan Muslim)
Hari ini, di luar sana kita melihat pemandangan yang mengelirukan tentang imej Islam. Tak nampak perbezaan antara Muslim dengan non Muslim dari segi penampilan, pertuturan dan perwatakan mereka. Akhlak Islam terlalu kabur dalam pemikiran generasi muda yang sudah berkiblat kepada nafsu dan kebendaan. Peranan pembawa mesej Islam juga terlalu kolot dan menakutkan sehingga umat semakin lari daripada agama. Islam tidak dihantar ke hati-hati mereka dengan rahmat dan keindahan Islam. Mereka yang kolot ini suka menggambarkan Islam dengan pelbagai aneka kesusahan dan kesempitan. Segalanya haram dan dosa, sehingga seolah-olah sukar mencari yang halal dan berpahala. Sedangkan bilangan perkara haram yang disebut oleh al-Quran dan al-Hadis itu terhad bilangannya berbanding yang halal. Bagaimana mungkin seseorang yang baru berjinak-jinak dengan Islam dibebankan dengan amaran siksa dan azab padahal sepatutnya mereka diberi khabar gembira dengan luasnya ampunan dan kasih sayang Allah Taala.
Mesej akhlak Islam yang mesra dan mudah sepatutnya diamalkan para pendakwah untuk menarik minat masyarakat kepada ajaran Islam. Begitu pula ahli korporat Muslim seharusnya menampakkan imej cekap dan profesional di dalam menepati nilai ihsan dalam bekerja. Malangnya ramai yang memilih berurusan dengan non muslim disebabkan mereka lebih terkedepan dan amanah dibandingkan orang Islam. Di sinilah kita melihat betapa akhlak amat berpengaruh dalam membina umat. Sebenarnya kecekapan, amanah, profesionalisme, dinamik, progresif dan istilah-istilah seumpama ini berasal dari sistem akhlak Islam yang telah diterapkan oleh Baginda Rasulullah SAW dan diamalkan secara berterusan oleh umat Islam ketika membina empayar Islam yang ulung pada masa lalu.
Untuk memperolehi kejayaan itu semula, umat Islam mestilah menemukan kembali kekuatan umat dengan berniat di dalam hati bahawa apa saja pekerjaan yang dilakukan hendaklah semata-mata untuk Islam dan anda wajib menjaga nama baik agama ini agar ia tidak tercemar pada perbuatan seharian. Jangan biarkan orang mengata Islam itu miskin dan malas, kolot dan lembab, penipu dan perosak, zalim lagi ganas semata-mata kerana sepak terajang orang-orang yang mengaku-aku membela nama Islam, sedangkan hakikatnya mereka memalukan Islam dengan sikap sekular mereka yang tempang, yang memisahkan Islam daripada intipati asalnya.

Dr Juanda Jaya (Mufti Perlis)

No comments:

Post a Comment