Rakyat Amerika Syarikat (AS) kini dua kali ganda lebih prejudis terhadap agama Islam berbanding agama Kristian, Yahudi atau Buddha, mengikut hasil tinjauan terbaru.
Hampir dua pertiga daripada rakyat Amerika berkata, mereka hanya mempunyai sedikit pengetahuan atau tidak ada pengetahuan langsung tentang Islam. Namun, majoriti mereka tidak menyukai agama ini.
Analisis yang dikeluarkan hari ini oleh Gallup World Religion Survey dan ia sebahagian daripada projek mencari jalan meningkatkan pemahaman rakyat Amerika terhadap Islam.
Kebanyakan penganalisis yang mengkaji fahaman pelampau turut menyatakan bahawa penganut Islam di AS merasa terasing daripada sempadan kemasyarakatan menentang integriti dan berpotensi menjadi lebih mudah terpengaruh dengan idea-idea radikal.
Dalam tinjauan itu, hanya separuh rakyat AS berkata, mereka tidak merasa prejudis terhadap Islam. Bagaimanapun, 43 peratus mengaku hanya mempunyai sekurang-kurangnya 'sedikit' prejudis terhadap Islam iaitu ketara tinggi daripada agama lain.
Kira-kira 18 peratus responden berkata, mereka mempunyai sedikit prejudis terhadap agama Kristian dan 15 peratus pula terhadap Yahudi serta 14 peratus ke atas Buddha.
Ditanya tentang pengetahuan berkenaan Islam, 63 peratus daripada rakyat AS memberitahu mempunyai pengetahuan 'yang amat sedikit' atau tidak ada langsung.
Majoriti responden percaya, kebanyakan penganut Islam mahukan keamanan tetapi masih terdapat 53 peratus rakyat AS berpendapat agama Islam 'tidak terlalu baik' atau 'tidak baik untuk semua', berbanding 25 peratus rakyat AS yang menyatakan mereka mempunyai gambaran buruk terhadap Yahudi dan tujuh peratus berpendapat mempunyai 'sedikit' atau 'banyak' prejudis ke atas Yahudi.
Secara peribadinya, mengetahui tentang Islam tidak mempunyai kaitan dengan kerendahan tahap prejudis, walaupun tidak mengetahui agama ini berhadapan dengan tahap berat sebelah yang besar. - AP
Sunday, 29 April 2012
SYIAH: MAZHAB ATAS NOSTALGIA SEJARAH
SYIAH: MAZHAB ATAS NOSTALGIA SEJARAH
Prof Madya Dr Mohd Asri bin Zainul Abidin
Prof Madya Dr Mohd Asri bin Zainul Abidin
Syiah adalah satu mazhab yang hidup atas ‘nostalgia’ lampau. Muharram adalah salah satu musim golongan Syiah menzahirkan tangisan mereka terhadap sejarah. Isu pembunuhan Saidina Hussain yang sudah berlalu empat belas kurun yang lepas diwarisi secara dendam yang tidak berkesudahan. Ramai yang menjadi mangsa kemarahan itu. Dendam itu bukan sahaja terhadap mereka yang terlibat dalam krisis lampau tersebut, tetapi turut dibabitkan mereka yang selepas itu yang enggan berkongsi tafsiran politik yang sama. Maka, Ahlus Sunnah menjadi sasaran ‘kemarahan warisan’.
Syiah sebenarnya bukan bermula dengan isu pokok dalam Islam. Ia hanya bermula dari sebuah aliran politik atau dalam istilah ‘politik kepartian’ lalu dibina dan dibajai sehingga menjadi dogma agama yang tidak dapat dibuang lagi. Isu-isu yang berkaitan dengan polisi pentadbiran pada zaman Saidina Uthman, diambil kesempatan oleh pihak tertentu untuk membina aliran politik pada zaman tersebut. Hari demi hari, dalam usaha mengukuhkan ‘parti’ dan menambah pengikut maka pelbagai nas-nas mula diberikan tafsiran yang mempunyai kepentingan politik, bahkan diwujudkan nas-nas baru bersifat politik yang sengaja diada-adakan.
Emosi
Ertinya, krisis politik dalam kalangan umat Islam selepas kewafatan Nabi s.a.w telah diwarisi secara emosi dan kekeliruan. Emosi di sini bermaksud isu-isu itu dilihat hanya pada sudut kehendak aliran politik tertentu, atau sentimen tertentu tanpa cuba merongkaikannya atau memahaminya secara holistik. Isu khalifah atau kepimpinan yang cuba dijadikan warisan keluarga Nabi s.a.w (Ahlul Bait) jika diterima akan menafikan sifat Islam sebagai agama yang tidak berteraskan nepotism atau kepentingan keluarga.
Kelayakan manusia dalam kepimpinan menurut nas-nas Islam yang dipegang dalam aliran Ahlus Sunnah wal Jama’ah adalah berasaskan kemampuan (al-quwwah) dan amanah (al-amanah). Sistem warisan dalam kepimpinan seperti yang dipegang oleh Syiah akan mengujudkan kasta aristocrat atau bangsawan yang akhirnya mereka dianggap infallible (maksum) yang tidak boleh dipertikaikan. Ini kerana kelayakan kepimpinan itu bukan kerana penguasaan mereka terhadap konsep kepimpinan sebaliknya secara warisan yang akhirnya mereka bagaikan wakil Tuhan yang menerima wahyu. Lalu mereka sentiasa dianggap benar dapat segala tindakan. Maka dengan itu akan terbengkalailah ruh syura dalam pemilihan kepimpinan.
Kekeliruan
Adapun, di sudut kekeliruan warisan ia membabitkan kepercayaan pengikut Syiah terhadap apa yang diwarisi dari fakta-fakta sejarah. Peristiwa-peristiwa sejarah lampau telah diwarisi turun temurun secara yakin tanpa mereka menyemak ketepatan fakta-fakta tersebut, atau ia sebenarnya hanya desus-desas politik atau tokok-tambah riwayat atas kepentingan politik.
Berasaskan apa yang mereka baca atau warisi mengenai cerita-cerita buruk para sahabat Nabi s.a.w khususnya Abu Bakar, ‘Umar, Uthman, Muawiyah, ‘Amr bin al-‘As atau selain itu, mereka telan bulat-bulat bersama dengan kebencian dan kemarahan ‘politik warisan’. Mereka tidak sempat lagi bertanya sejauh manakah kebenaran fakta tersebut, kerana berita buruk itu adalah berita ‘musuh politik’ mereka. Demikian itu seperti yang kita lihat musuh-musuh politik apabila bertarung antara satu sama lain. Kisah buruk musuh semua ditelan bulat-bulat dan disebarkan seluas-luasnya.
Hal ini bermula sejak penghujung pemerintahan ‘Uthman bin ‘Affan. Fitnah bermula. Dia dituduh menyalahgunakan kuasa, menjaga kepentingan keluarga dan pelbagai lagi. Walaupun sejarah mencatatkan Saidina ‘Uthman telah menjawab semua isu tersebut dengan hebat dan mantap, tetapi jawapan-jawapan itu tidak pernah sampai kepada mereka, kerana mereka enggan membaca atau mengetahui kebenaran musuh politik mereka.
Sebenarnya, Saidina Uthman telah cuba membendung gerakan fitnah yang dilancarkan oleh seorang yahudi bernama Abdullah bin Saba –suatu watak yang diakui kewujudannya oleh sumber Syiah dan Sunni-. Dialah yang mencanangkan kempen menjatuhkan ‘Uthman. Dia campuri isu-isu politiknya dengan pelbagai tafsiran agama, termasuklah kononnya ‘Ali bin Abi Talib ialah warisan Nabi s.a.w dalam kepimpinan politik. Rakyat terpinga-pinga. Mereka tiada pengalaman politik seperti itu.
Khalifah Uthman yang warak itu menulis surat rakyat:
“Aku mengambil pegawai-pegawaiku dengan persetujuanku pada setiap musim. Sejak aku memerintah, aku telah jadikan umat ini dikuasai oleh al-Amr bi al-Ma’ruf dan al-Nahy ‘an al-Munkar. Tidak dikemukakan suatu kes kepadaku atau kepada para pegawaiku melainkan aku berikan kepada mereka hak mereka. Tiada bagiku atau keluargaku hak yang menyentuh rakyat jelata melainkan diberikan kepada rakyat. Penduduk Madinah telah memaklumkan kepadaku bahawa ada golongan yang dicerca secara sembunyi, atau sesiapa sahaja yang mendakwa sesuatu, apabila cukup tempohnya maka ambillah kembali haknya di mana sahaja dia berada, daripadaku atau pegawaiku ataupun dia bersedekahlah (maafkanlah). Sesungguhnya Allah memberi ganjaran kepada orang-orang yang bersedekah (memaafkan)”. Apabila surat ini dibaca di setiap negeri maka rakyat jelata pun menangis dan mereka berkata: “Sesungguhnya telah bergerak di kalangan umat ini kejahatan” (Al-Tabari, Tarikh al-Tabari, 4/342. Beirut: Rawai’ al-Turath al-‘Arabi).
Namun oleh kerana reka cerita itu atas kepentingan politik, maka fitnah terus disebarkan. Para sahabat Nabi s.a.w tidak terpengaruh dengan fitnah itu, tetapi ia mempengaruhi mereka yang bukan sahabat yang hidup di zaman tersebut. Sehingga para pemberontak datang ke Madinah, berdialog dengan ‘Uthman sendiri. Segala fitnah telah ‘Uthman jawab dengan kemas. Mereka terbungkam. Para sahabat yang menyaksikan mengakui hujah-hujah ‘Uthman.
Antaranya Uthman berkata:
“Ketahuilah ketika aku dilantik menjadi khalifah, aku adalah orang ‘Arab yang paling banyak mempunyai unta dan kambing. Namun sekarang tidak ada bagiku melainkan dua ekor unta yang aku gunakan untuk menunaikan haji… mereka mengatakan bahawa aku sayangkan kaum keluargaku dan memberikan mereka harta. Sebenarnya, perasaan sayangku kepada kaum keluargaku tidak menyebabkan aku bertindak kepada mereka adalah daripada hartaku sendiri. Aku tidak pernah menghalalkan harta benda orang Islam untuk diriku, tidak juga untuk sesiapa. Demi Allah! Aku tidak pernah mengambil sedikit pun harta atau cukai dari mana-mana wilayah..” (Al-Tabari, Tarikh al-Tabari, 4/348).
Apa yang pasti tulisan Syiah tidak akan memetik hal ini. Kerana, ini bukan apa yang mereka mahu.
Riwayat Sejarah
Namun, disebabkan fitnah berterusan, khalifah Uthman dibunuh. Selepas pembunuhan ‘Uthman, dunia Islam terus tidak tenteram. Fitnah makin banyak. Berbagai cerita ditokok tambah. Dari cerita politik Saidina ‘Uthman sehingga berlarutan isu Perang Jamal, Siffin, pembunuhan Saidina Hussain dan pelbagai lagi. Buku-buku sejarah mencatatkan pelbagai perkara yang bercampur aduk antara satu sama lain. Cerita-cerita bercanggahan antara satu sama lain. Ada riwayat pro-syiah dan ada yang pro-sunni. Kesemuanya bergantung kepada perawi (narrator).
Jika dia fanatik syiah seperti Abu Mikhnaf dan Hisyam bin Saib al-Kalbi maka buruk ‘Uthman, Mu’awiyah dan lain-lain. Kitab al-Umam wa al-Muluk atau dikenali dengan Tarikh al-Tabari yang menjadi pegangan sejarah Sunnah dan Syiah itu meriwayat pelbagai riwayat yang bercanggahan antara satu sama lain. Ini kerana, al-Imam al-Tabari (w. 310) mencatatkan apa sahaja yang sampai kepadanya; tanpa mengambil kira samada sahih ataupun palsu. Ini kerana beliau membiarkan agar para pembacanya menilai berdasarkan sanad-sanad yang dikemukakan dan membuat pembandingan sendiri. Ini disebut sendiri oleh al-Tabari dalam mukadimahnya:
“Apa yang terkandung di dalam kitabku ini tentang sebahagian kisah orang yang terdahulu; antara berita tersebut ada yang menyebabkan pembacanya merasa pelik atau pendengarnya merasa jelik. Ini kerana dia tidak dapat menerimanya sebagai sesuatu yang benar atau sesuatu yang hakikat. Maka hendaklah dia mengetahui bahawa berita-berita tersebut bukan datang daripadaku, tetapi ia datang daripada orang yang menyampaikannya kepadaku. Aku telah meriwayatkannya seperti yang disampaikan kepadaku”.(Al-Tabari, Tarikh al-Tabari, 1/8).
Kita semua tidak menyaksikan apa yang sebenarnya berlaku. Demikian juga al-Tabari. Hanya catatan dalam pelbagai rupa yang ada. Membaca sejarah Islam memerlukan pengetahuan tentang disiplinnya. Maka kita hendaklah mematuhi arahan al-Quran: (maksudnya)
“Wahai orang-orang yang beriman! Sekiranya datang kepada kamu orang yang fasik membawa sesuatu berita maka periksalah dengan teliti, agar kamu tidak menimpakan musibah kepada suatu kaum tanpa mengetahui keadaannya menyebabkan kamu menyesal atas perbuatan kamu itu“.(Surah al-Hujarat: 6).
Justeru Ahlus Sunnah mengambil pendirian yang berbeza dalam isu sejarah ini dengan Syiah. Kata al-Imam Ibn Taimiyyah (w. 728):
“Ahlus Sunnah wal Jama’ah wa al-Jama’ah berlepas diri daripada sikap golongan al-Rafidah (syiah) yang membenci dan mencerca para sahabat. Mereka juga berlepas diri daripada sikap golongan al-Nasibah yang menyakiti Ahl al-Bayt dengan perkataan dan perbuatan mereka. Ahlus Sunnah wal Jama’ah mengambil sikap mendiamkan diri tentang pertelingkahan yang berlaku antara para sahabat. Mereka mengatakan bahawa kisah-kisah yang diriwayatkan tentang keburukan para sahabat, antaranya adalah dusta atau ia sengaja ditokok tambah atau dikurangkan atau diubah daripada ceritanya yang asal“ (Ibn Taymiyyah, Al-’Aqidah al-Wasattiyyah, hlm. 201).
Atas kedukaan sejarah yang ditokok-tambah itu, atau direka berdasarkan keperluan politik itu, dibina pula berbagai doktrin dan dogma agama yang lain sehingga Syiah akhirnya lahir menjadi satu mazhab yang besar yang akan mewarisi dendam sejarah dari zaman ke zaman. Saya pernah menulis sebuah buku berjudulPertelingkahan Para Sahabat: Antara Ketulenen Fakta dan Pembohongan Sejarah. Persoalan ini telah saya jelaskan dengan lebih terperinci.
Apapun, hari ini Syiah telah wujud. Mereka adalah warisan sejarah silam. Tangisan dan amarah yang tidak bersudahan. Hanya atas cerita lama, mereka meriwayatkan sengsara. Soal sejauh manakah ketulenan cerita bukan lagi persoalan. Namun bagi kita, sikap yang adil adalah berdialog dengan mereka. Mereka umat Islam dan ada kelebihan tersendiri. Mereka mazhab yang lahir dari isu politik, maka mereka sangat mahir berpolitik. Bagi kita, menghukum tanpa berhujah adalah sikap yang tidak adil. Berhujah tanpa sudi mendengar hujah orang lain, adalah keras kepala. Ahlus Sunnah sederhana dalam segala hal.
Mengapa tidak terus ambil daripada al-Quran dan al-Sunnah ?
Saya ingin turunkan satu kisah yang menceritakan tentang satu pertemuan seorang pemuda yang baru dapat ijazah PHD dari Al Azhar Mesir dengan seorang Tuan Guru.
Apa yang menarik tentang kisah ini ialah bagaimana sikap seorang Tok Guru ketika memberi didikan kepada seorang yang datang menempelak dan mencemuhnya. Sabar, setia mendengar setiap yang diluahkan dan pelbagai sikap yang baik yang patut diteladani oleh para pendakwah sekarang daripada Tok Guru tersebut. Inilah manhaj sebenar Ahlussunnah Wal Jamaah . Tidak melenting malah memberikan peluang kepada mereka untuk berbicara.
Sikap pemuda yang mengaku mengikut ajaran Salaf ini juga patut diteladani dalam satu aspek iaitu mendengar kembali apa yang diterangkan oleh Tok Guru tersebut dan mengakui bahawa dirinya ada melakukan kesalahan. Berbeza dengan sikap pemuda-pemuda dan para ilmuan sekarang, yang langsung tidak mahu menerima pandangan orang lain malah menuduh bahawa para ulama dan orang lain yang bukan dari kelompok dia tidak betul,bid’ah,sesat dan sebagainya.
Inilah kisahnya :
Suatu hari, datang seorang pemuda, Imran nama nya, lepasan Universiti Al Azhar Mesir yang mempunyai ijazah PHD ke sebuah pondok untuk bertemu dengan Tok Guru pondok tersebut.Maka berlakulah dialog di antara pemuda dan Tok Guru di ruang tamu rumah Tok Guru.
Tok Guru : Sila duduk anak muda, siapa nama kamu dan datang dari mana?
Pemuda : Terima kasih Tuan. Nama saya Imran bin Abdullah dan saya datang dari Gua Musang Kelantan.(Bukan nama dan tempat sebenar)
Tok Guru: Oh dari jauh rupanya, tentu sdr Imran ada hajat besar ni. Sila ceritakan apa hajat sdr mudah mudah saya boleh tolong.
Imran diam sebentar sambil menarik nafas panjang..
Pemuda : Begini Tuan, saya datang ke sini, bertujuan ingin berbincang beberapa permasalahan dengan Tuan. Mengenai permasalahan umat Islam sekarang. Saya ingin bertanya, mengapa Tok Tok Guru di kebanyakkan pondok pondok pengajian di Malaysia,Indonesia , Nusantara dan di Asia umumnya sering mengajar murid-murid mereka dengan lebih suka mengambil qalam-qalam atau pandangan para ulama? Seringkali saya mendengar mereka akan menyebut : ” Berkata al-Imam al-Syafie”, “berkata al-Imam Hanafi”, “berkata al imam Malik”,”berkata Syeikh itu dan berkata Syeikh ini” dan lain-lain”
Mengapa tidak terus mengambil daripada al-Quran dan al-Sunnah ? Bukankah lebih baik kalau kita mendengar seseorang tersebut menyebutkan ” Firman Allah taala di dalam al-Quran, Sabda Rasulullah sallallahu alaihi wasallam di dalam hadis itu dan ini?”
Ulama-ulama itu sebagai manusia kan mempunyai kelemahan dan kekurangan. Maka mereka juga tidak lari daripada melakukan kesilapan. Kan lebih baik kita ambil terus daripada kalam al-Ma’sum iaitu al-Quran dan al-Sunnah.
Tok Guru pondok mendengar segala hujah yang disampaikan oleh pemuda tersebut dengan penuh perhatian. Sedikitpun beliau tidak mencelah malah memberikan peluang bagi pemuda tersebut berbicara sepuas-puasnya.
Sambil senyuman terukir di bibir Tok Guru , beliau bertanya kepada pemuda tersebut,
Tok Guru : Masih ada lagi apa yang ingin kamu persoalkan sdr Imran?
Pemuda : Setakat ini, itu sahaja yang ingin saya sampaikan Tuan.
Tok Guru : Sebelum berbicara lebih lanjut, eloknya kita minum dulu ya. Tiga perkara yang sepatutnya disegerakan iaitu hidangan kepada tetamu , wanita yang dilamar oleh orang yang baik maka disegerakan perkahwinan mereka dan yang ketiga si mati maka perlu disegerakan urusan pengkebumiannya. Betul kan sdr Imran?
Pemuda : Benar sekali Tuan .
Tok Guru lalu memanggil isterinya supaya membawa minuman untuk mereka berdua. Maka minuman pun sampai.
Tok Guru : Jemput minum sdr Imran.
Sebaik dipelawa Tok Guru, Imran pun terus mengambil jug air tersebut lalu menuangkan perlahan-lahan ke dalam cawan yang tersedia.
Tok Guru terus bertanya : sdr Imran, kenapa kamu tidak terus minum daripada jug nya sahaja? Kenapa perlu dituang di dalam cawan?
Pemuda : Tuan, mana boleh saya minum terus daripada jug nya.Jug nya besar.Saya tuang ke dalam cawan agar memudahkan saya meminumnya.
Tok Guru : sdr Imran, itulah jawapan terhadap apa yang kamu persoalkan sebentar tadi. Mengapa kami tidak mengambil terus daripada al-Quran dan al-Sunnah? Ianya terlalu besar untuk kami terus minum daripadanya. Maka kami mengambil daripada apa yang telah dituang di dalam cawan oleh para ulama. Maka ini memudahkan bagi kami untuk mengambil dan memanfaatkannya.
Benar kamu katakan bahawa mengapa tidak terus mengambil daripada al-Quran dan al-Sunnah. Cuma persoalan yang saya ingin tanya balik kepada kamu . Adakah kamu ingin mengatakan bahawa al-Imam al-Syafie dan para ulama yang kamu sebutkan tadi mengambil hukum selain daripada al-Quran dan al-sunnah? Adakah mereka mengambil daripada sumber selain dari al Quran dan al Sunnah?
Pemuda : Sudah tentu mereka juga mengambil daripada al-Quran dan al-Sunnah.
Tok Guru : Kalau begitu, maka sumber pengambilan kita juga adalah daripada al-Quran dan al-Sunnah cuma dengan kefahaman daripada para ulama.
Tok Guru : Satu lagi gambaran yang ingin saya terangkan kepada kamu. Saya dan kamu membaca al-Quran, al-Imam al-Syafie juga membaca al-Quran bukan?
Pemuda : Benar Tuan.
Tok Guru : Baik, kalau kita membaca sudah tentu kita ada memahami ayat-ayat di dalam al-Quran tersebut bukan? Al-Imam al-Syafie juga memahami ayat yang kita bacakan. Maka persoalannya , pemahaman siapa yang ingin didahulukan? Pemahaman saya dan kamu atau pemahaman al-Imam al-Syafie terhadap ayat tersebut?
Pemuda : Sudah tentu pemahaman al-Imam al-Syafie kerana beliau lebih memahami bahasa berbanding kita orang zaman sekarang.
Tok Guru : Sekarang sdr Imran sudah faham bukan? Hakikatnya kita semua mengambil daripada sumber yang satu iaitu al-Quran dan al-Sunnah. Tiada seorang pun yang mengambil selain daripada keduanya. Cuma bezanya, kita mengambil daripada pemahaman terhadap al-Quran dan al-Sunnah tersebut daripada siapa? Sudah tentu kita akan mengambil daripada orang yang lebih alim dan dalam ilmu. Ini kerana mereka lebih wara’ dan berjaga-jaga ketika mengeluarkan ilmu.
Kamu tahu sdr Imran, al-Imam al-Syafie r.a pernah ditanya oleh seseorang ketikamana beliau sedang menaiki keldai , berapakah kaki keldai yang Imam tunggangi?
Maka al-Imam al-Syafie turun daripada keldai tersebut dan mengira kaki keldai tersebut. Selesai mengira kaki keldai berkenaan, barulah al-Imam menjawab : ” Kaki keldai yang aku tunggang ini ada empat”. Orang yang bertanya tersebut merasa hairan lalu berkata ” Wahai Imam , bukankah kaki keldai itu sememangnya empat, mengapa engkau tidak terus menjawabnya?” al-Imam al-Syafiee menjawab : ” Aku bimbang, jika aku menjawabnya tanpa melihat terlebih dahulu, tiba-tiba Allah taala hilangkan salah satu daripada kakinya maka aku sudah dikira tidak amanah di dalam memberikan jawapan”
Cuba kamu perhatikan sdr Imran, betapa wara’nya al-Imam al-Syafie ketika menjawab persoalan berkaitan dunia. Apatah lagi kalau berkaitan dengan agamanya?
Al-Imam Malik r.a pernah didatangi oleh seorang pemuda di dalam majlisnya di Madinah al-Munawwarah. Pemuda tersebut mengatakan bahawa dia datang daripada negeri yang jauhnya 6 bulan perjalanan daripada Madinah. Pemuda itu datang untuk bertanyakan satu masalah yang berlaku di tempatnya.
Al-Imam Malik r.a, mengatakan bahawa ” Maaf, aku tidak pandai untuk menyelesaikannya”
Pemuda tersebut hairan dengan jawapan Imam Malik, dan dia bertanya : ” Bagaimana aku akan menjawab nanti bilamana ditanya oleh penduduk tempatku?”
Maka kata al-Imam Malik : ” Katakan kepada mereka bahawa Malik juga tidak mengetahui bagaimana untuk menyelesaikannya”
Ya Allah.. Cuba kamu lihat sdr Imran betapa amanahnya mereka dengan ilmu. Berbeza dengan manusia zaman sekarang yang baru setahun jagung di dalam ilmu sudah mendabik dada mengaku bahawa seolah-olah mereka mengetahui semua dan segalanya.
Pemuda : MasyaAllah, terima kasih Tuan atas penjelasan yang sangat memuaskan. Saya memohon maaf atas kekasaran dan keterlanjuran bicara saya .
Tok Guru : Sama-sama sdr Imran. Semoga kamu akan menjadi seorang yang akan membawa panji agama kelak dengan ajaran yang benar InsyaAllah.
Rujukan: Ustaz Mohd Nazrul Abdul Nasir
Kes Murtad Yang Semakin Teruk
Rasanya ramai yang dah tahu pasal kes murtad yang semakin berleluasa ni..Sekarang kes ni semakin hangat apabila Datuk Dr Hasan Mohd Ali menyokong tindakan Jais menyerbu gereja.Saya pun sokong dengan tindakan Datuk Hasan Ali ni.Memang gereja tu patut diserbu.Ada sesuatu yang tak betul dan agenda.Saya rasa gereja tu nak lakukan.Memberi makan kepada orang susah pada bulan Ramadhan dan diberi bible berbahasa Melayu.Memang bagi saya ini merupakan salah satu cara halus dakyah Kristian.
Sebenarnya kes murtad ni memang dah lama berlaku.Kes murtad ni dah lama kecoh sejak saya sekolah dulu.Saya dulu sekolah agama.Memang kes murtad ni memang banyak saya dengar.Cara mereka memang halus.Kalau dulu memang banyak menggunakan air holy water dan menggunakan lelaki untuk memancing gadis-gadis Islam ni.Mereka gunakan lelaki tu untuk berbaik dengan gadis Islam dan bila dah rapat mulakan mereka masukkan ideologi agama Kristian ni.Sekarang ni dieorng menggunakan cara yang lebih halus.Sogok dengan harta dan bantuan kepada orang yang susah.
Baru-baru ni kes di Negeri Sembilan rasanya seorang wanita yang menerima bantuan dari gereja.Bukan nak menyalahkan wanita tu 100% apa lagi wanita tu ada anak.Mungkin kita patut mempersoalkan kepimpinan Islam negara kita.Begitu gak dekat institusi kebajikan macam Baitulmal.Zakat?Adakah disalurkan di tempat yang betul.Adakah zakat tu diberikan pada orang yang betul-betul memerlukan.Bagaimana pulak pada umat Islam yang lari dari membayar zakat.Tu wajib tu.Bayar zakat ni tak macam income tax.Dikejar hingga lubang cacing kalau tak bayar.So,kita sebagai umat Islam kena la alert dengan tanggungjawab kita sebagai umat Islam.
Tapi saya tetap tak sokong dengan tindakan wanita tu menerima bantuan gereja tu.Memang pada mulanya ianya hanya sebagai bantuan.Akan datang kita tak tahu.Fitrah manusia mesti akan rasa terhutang budi bila diberi bantuan macam ni.Kalau iman tak kuat apa-apa pun boleh terjadi.Betul kata SB,”sudah tiada lagikah saudara seagama yang boleh diharapkan dan sanggupkah kita menggadai maruah agama Islam hanya kerana sedikit bantuan?…Jiran?Keluarga?Pihak surau?Pihak Masjid?..Rasanya kalau hubungan wanita ni dengan jiran dan masjid atau surau baik mungkin bantuan boleh dia terima.Memang saya tengok ada masjid dan surau ni seperti tidak hidup sangat.Tidak seperti sepatutnya peranan masjid dan surau.Tapi tak semua macam tu.
Yang saya sedih bila umat Islam sendiri setuju dengan tindakan wanita ni mengambil bantuan dari pihak gereja ni.Malah menghentam kembali bila ada yang tulis supaya wanita ni menguatkan keimanan dia.Memang kasihan dengan wanita tu.Tapi jangan la kita menyokong seperti menggalakkan wanita tu berterusan ambil bantu tu.saya tengok tak banyak pemimpin kita ni yang bersuara dalam perkara.Mengaku diri sebagai pemimpin Islam tapi demi politik perkara ni macam mereka ni tidak tegas.
Kalau dulu orang yang murtad tidak menghebohkan diri mereka pada orang lain.saya ingat masa sekolah dulu ada satu cerita seorang pelajar TKC yang accident.Bila di buka tudung rupanya perempuan tu pakai rantai Salib.Sekarang ni saya tengok orang-orang yang murtad dah semakin teruk.Mereka bangga dengan menghina Islam.Siap buat group facebook lagi.Bila saya baca group Murtads in Malaysia and Singapore rasa geram tu memang ada.Tapi kita tak boleh melatah.Macam tu la bila orang Islam yang beramal dan mencari ilmu tanpa guru dan bimbingan.Mentafsir ayat Al-Quran dan hadis dengan menggunakan akal fikiran sendiri saje tanpa mempelajari apa maksud tersirat yang disampaikan dalam Al-Quran dan hadis.
p/s-sama-sama la kita berdoa semoga tiada antara keluarga kita termasuk dalam golongan murtad.Doa la kepada Allah supaya keimanan kita dikekalkan dan semakin kuat hingga ke akhir hayat..
Mufti: Ramai mualaf yang pohon murtad
Mufti Selangor, Datuk Tamyes Abdul Wahid memberitahu, banyak permohonan untuk keluar Islam dibuat oleh golongan mualaf yang baru memeluk Islam.
“Yang ramai itulah dia, (orang yang) bertukar kepada Islam,” katanya ketika ditanya sama ada majoriti yang memohon menukar agama terdiri daripada saudara baru.
Beliau bagaimanapun tidak mempunyai butiran terperinci berhubung pendedahannya itu.
Malaysiakini kelmarin melaporkan, permohonan untuk murtad adalah 686 manakala permohonan yang diluluskan oleh Mahkamah Syariah bagi seluruh negara adalah 135 orang antara tahun 2000 hingga 2010.
Laporan itu berdasarkan statistik yang diberikan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom di Dewan Rakyat yang menyatakan permohonan menukar status agama oleh orang Islam adalah 863 kes dan sebanyak 168 diluluskan.
Bagaimanapun perangkaan yang dibekalkan itu tidak selaras dengan jumlah yang dikira.
Lebih memeningkan lagi, menteri berkenaan pada petang Rabu, dipetik Bernama sebagai menafikan jawapan yang diberikannya kepada Dewan Rakyat itu.
Bernama melaporkan Jamil Khir berkata sehingga kini belum ada satu pun kes murtad yang diluluskan oleh Mahkamah Syariah.
Ketika dihubungiMalaysiakini semalam, Tamyes turut melahirkan kebimbangannya berhubung peningkatan bilangan permohonan murtad yang ramai.
“Bukan saya seorang saja (bimbang), semua berasa bimbang. Saya harap golongan tertentu (yang ingin murtad) jelas matlamat (mereka) yang sebenar,” kata Tamyes.
Ramai yang dari Hindu
Sehubungan itu, beliau mencadangkan semua pihak, terutamanya penguatkuasa agama menggandakan usaha membenteras gejala itu dengan menggiatkan usaha dakwah.
“Semua pihak (berusaha) bukan hanya pihak penguatkuasa sahaja. Orang ramai termasuk ibu bapa dan masyarakat kena berusaha,” katanya.
Beliau juga mengingatkan, seseorang yang ingin menganut agama Islam perlulah dengan kerelaan hati dan bukannya kerana paksaan bagi mengelakkan masalah pada kemudian hari.
“Kalau begitu, dia (saudara baru) akan komited (berpegang pada Islam),” katanya lagi.
Sementara itu, seorang pegawai penasihatan akidah di Jabatan Mufti Selangor, M Daruddin Taib @ Hassan memberitahu, di negeri itu, kebanyakan kes murtad melibatkan kaum India.
“Kita (jabatan mufti) menggunakan panel (yang dianggotai orang) Hindu yang masuk Islam (untuk kes sebegitu), saya tak boleh bertutur bahasa Tamil,” katanya.
Namun menurut beliau, terdapat juga kes lain yang melibatkan pelbagai latar belakang.
“Macam-macamla latar belakang. Ada yang lahir dan dibesarkan oleh keluarga yang bukan beragama Islam,” katanya.
Katanya lagi, ada yang memohon untuk bertukar kepada Islam kerana ingin berkahwin dengan orang Islam namun kegagalan perkahwinan mendorong mereka kembali ke agama asal.
(Sumber:Malaysia Kini 17hb Jun 2011)
Jahiliah di puja umat derita
Firman Allah dalam ayat 40 surah at-Taubah :
إِلاَّ تَنصُرُوهُ فَقَدْ نَصَرَهُ اللهُ إِذْ أَخْرَجَهُ الَّذِينَ كَفَرُواْ ثَانِيَ اثْنَيْنِ إِذْ هُمَا فِي الْغَارِ إِذْ يَقُولُ لِصَاحِبِهِ لاَ تَحْزَنْ إِنَّ اللهَ مَعَنَا فَأَنزَلَ اللهُُ سَكِينَتَهُ عَلَيْهِ وَأَيَّدَهُ بِجُنُودٍ لَّمْ تَرَوْهَا وَجَعَلَ كَلِمَةَ الَّذِينَ كَفَرُواْ السُّفْلَى وَكَلِمَةُ اللهِِ هِيَ الْعُلْيَا وَاللهُُ عَزِيزٌ حَكِيمٌ
Maksudnya : Kalau kamu tidak menolongnya (Nabi Muhammad) maka sesungguhnya Allah telahpun menolongnya, iaitu ketika kaum kafir (di Makkah) mengeluarkannya (dari negerinya Makkah) sedang ia salah seorang dari dua (sahabat) semasa mereka berlindung di dalam gua, ketika ia berkata kepada sahabatnya: “Janganlah engkau berdukacita, sesungguhnya Allah bersama kita”. Maka Allah menurunkan semangat tenang tenteram kepada (Nabi Muhammad) dan menguatkannya dengan bantuan tentera (malaikat) yang kamu tidak melihatnya. Dan Allah menjadikan seruan (syirik) orang-orang kafir terkebawah (kalah dengan sehina-hinanya), dan Kalimah Allah (Islam) ialah yang tertinggi (selama-lamanya), kerana Allah Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana
Kita pada hari ini baru menyambut kedatangan bulan baru dalam taqwim Hijrah iaitu bulan Safar. Kita baru sahaja melalui bulan Muharram yang begitu banyak meninggalkan kesan kepada kita terutama dalam menghayati sebaik mungkin iktibar daripada peristiwa Hijraturrasul s.a.w. Umat Islam yang mahu berjaya di dunia dan akhirat mesti berhijrah daripada keadaan yang tidak baik kepada yang terbaik, daripada bergelumang dengan maksiat dengan istiqamah dalam ibadat, daripada menggunakan sistem jahiliah ciptaan manusia kepada melaksanakan sistem Islam dalam kehidupan, daripada berkiblatkan cara hidup barat kepada bersemangat dengan cara hidup Islam. Golongan yang berjaya ialah golongan yang yakin dengan kebenaran Islam, sanggup berkorban untuk Islam serta tidak putus asa dalam berjuang. Oleh itu dalam memperjuangkan Islam maka sudah pasti terpaksa berhadapan dengan pelbagai cabaran, halangan, sekatan dan tohmahan di mana kemenangan Islam bukanlah dapat dicapai dengan jalan yang senang. Kita juga perlu ingat bahawa jika kita malas atau tidak mahu memperjuangkan Islam maka Allah tetap akan mendatangkan kemenangan kepada agamaNya. Oleh itu pilihlah samada kita mahu berjuang menegakkan sistem Islam sehingga dianugerahkan kemuliaan hidup di dunia dan akhirat atau memilih untuk terus hidup dengan sistem jahiliah anutan penjajah tanpa menghiraukan sistem Islam sehingga dihinakan oleh Allah di dunia dan akhirat. Dua pilihan ditawarkan kepada kita samada dosa atau pahala, syurga atau neraka, Islam atau jahiliah, iman atau kufur. Bijak memilih mulia dunia dan akhirat tetapi jika silap memilih merana hidup dunia dan akhirat
Firman Allah dalam ayat 10-11 surah as-Soff :
يأَيُّهَا الَّذِينَ آَمَنُوا هَلْ أَدُلُّكُمْ عَلَى تِجَارَةٍ تُنجِيكُم مِّنْ عَذَابٍ أَلِيمٍ تُؤْمِنُونَ بِاللهِ وَرَسُولِهِ وَتُجَاهِدُونَ فِي سَبِيلِ اللَّهِ بِأَمْوَالِكُمْ وَأَنفُسِكُمْ ذَلِكُمْ خَيْرٌ لَّكُمْ إِن كُنتُمْ تَعْلَمُونَ
Maksudnya : Wahai orang-orang yang beriman! Adakah kamu gembira jika Aku tunjukkan suatu perniagaan yang dapat menyelamatkan kamu daripada azab yang pedih?. Iaitu kamu beriman kepada Allah dan rasulNya serta kamu berjihad pada jalan Allah dengan harta benda dan jiwa ragamu. Demikian itu adalah lebih baik bagi kamu jika kamu mengetahuinya
Ketika meniti kejayaan Rasululllah s.a.w dalam mendirikan Daulah Islamiah yang gemilang di Madinah Munawwarah maka kerja dan perancangan ke arah itu bukanlah dengan jalan yang mudah termasuk dalam menawarkan kehebatan dan keadilan Islam kepada masyarakat Arab pada masa itu dengan melawat khemah-khemah pemimpin Arab yang datang ke Mekah untuk menunaikan haji bagi menyebarkan dakwah Islam di mana pelbagai jawapan yang diterima hasil daripada usaha yang tidak pernah mengenal erti putus asa itu. Pemimpin Bani ‘Amir sebagai contohnya mahukan janji kesenangan dunia yang dapat dilihat dengan mata sekiranya Islam menang lalu Nabi SAW meninggalkannya.
Golongan yang lebih mementingkan wang daripada Islam, mementingkan dunia daripada agama terus wujud hingga hari ini sehingga ramai yang boleh dijual beli seumpama binatang malah lebih murah daripada itu kerana bagi golongan ini iman dan Islam tiada nilai berbanding wang dan dunia. Sebab itulah Imam Abu Hanifah pernah berwasiat bahawa tiga golongan yang biasanya tecabut imannya ketika mati iaitu:
[1] tidak bersyukur dengan nikmat iman yang dianugerahkan kepadanya
[2] tidak berasa gerun dengan keadaan hari matinya nanti akibat terlalu asyik dengan godaan dunia
[3] suka berbuat zalim kepada manusia
Seterusnya Nabi bertemu dengan pemimpin Bani Syaiban yang mengakui Islam adalah benar tetapi bila mendengar kalimah syahadah lalu dia menyatakan bahawa dia tidak mahu mengucapnya kerana yakin bahawa Islam boleh menyebabkan mereka diperangi bukan sahaja oleh puak Arab malah oleh kuasa besar dunia. Golongan seperti ini juga terus wujud hingga hari ini di mana mengakui kehebatan sistem Islam tetapi takut untuk berjuang apatah lagi berkorban kerana bimbang diperangi oleh kuasa besar dunia seperti Amerika Syarikat atau takut dibuang kerja, diturun pangkat dan sebagainya.
Golongan yang mesti kita contohi ialah pemimpin Aus dan Khazraj dari Madinah yang bukan sahaja menerima Islam malah sanggup bersumpah taat setia dalam mempertahankan Nabi disamping sanggup menjadikan Madinah sebagai Daulah Islamiah yang dipimpin oleh Nabi Muhammad SAW sendiri. Golongan seperti inilah yang kita mesti lahirkan sehingga dapat memastikan sistem Islam dapat dilaksana
Firman Allah dalam ayat 91 surah al-Maidah :
إِنَّمَا يُرِيدُ الشَّيْطَانُ أَن يُوقِعَ بَيْنَكُمُ الْعَدَاوَةَ وَالْبَغْضَاء فِي الْخَمْرِ وَالْمَيْسِرِ وَيَصُدَّكُمْ عَن ذِكْرِ اللهِ وَعَنِ الصَّلاَةِ فَهَلْ أَنتُم مُّنتَهُونَ
Maksudnya : Sesungguhnya Syaitan itu hanyalah bermaksud mahu menimbulkan permusuhan dan kebencian di antara kamu dengan sebab arak dan judi, dan mahu memalingkan kamu daripada mengingati Allah dan daripada mengerjakan sembahyang. Oleh itu, mahukah kamu berhenti (daripada melakukan perkara-perkara yang keji dan kotor itu atau kamu masih berdegil)?
Ketika kuasa pemerintahan telah ada dengan terdirinya Daulah Islamiah di Madinah maka antara perkara yang dibuat oleh Rasululllah SAW ialah mengharamkan arak dan judi di mana kedua-dua najis dan senjata syaitan ini merupakan penyebab utama kepada kerosakan akhlak dan jenayah dalam sesebuah negara. Suatu kertas kerja yang pernah dibentangkan oleh bekas Ketua Polis Kelantan pada 2007 telah mencatatkan bagaimana Selangor walau pun nisbah setiap seorang anggota polis perlu menjaga 200 orang rakyat tetapi kadar jenayahnya paling tinggi dalam negara berbanding Kelantan di mana seorang anggota polis terpaksa mengawal 435 orang rakyat mencatat jenayah paling rendah dalam negara. Antara punca utama ialah Selangor terlalu bebas penjualan arak, banyak kelab malam dan pusat judi serta meluasnya amalan rasuah. Inilah bahayanya bila tempat dan aktiviti yang merosakkan akhlak hidup subur sedangkan tempat dan majlis ilmu semakin dikepung menyebabkan suasana yang menakutkan semakin bertambah. Sebab itu tidak hairan bila seorang tauke judi Genting Highland mati maka kebanyakan pemimpin Melayu, akhbar, tv, radio meratap sedih kehilangannya sedangkan bila seorang bekas mufti Selangor iaitu al-Marhum Ustaz Ishak Baharum meninggal dunia hanya sedikit berita mengenainya. Semoga roh al-Marhum ditempatkan bersama golongan soleh. Begitu juga berkenaan artis yang mati turut diberi liputan yang meluas berbanding ulama’ yang banyak berjasa. Ini tidak pelik kerana hasil negara banyak daripada judi begitu juga akhbar seperti Berita Harian, Utusan Malaysia, Metro mengaut keuntungan ratusan juta hasil daripada menyiarkan keputusan judi.
Inilah tanda akhir zaman bila ahli maksiat dipuja manakala ahli ibadat pula dipandang hina, orang jahil dipuji orang alim dikeji, orang fasik dijulang orang soleh ditendang, jahiliah diangkat Islam disekat.
Firman Allah dalam ayat 87 surah al-Qasas :
وَلاَ يَصُدُّنَّكَ عَنْ آيَاتِ اللهِِ بَعْدَ إِذْ أُنزِلَتْ إِلَيْكَ وَادْعُ إِلَى رَبِّكَ وَلاَ تَكُونَنَّ مِنَ الْمُشْرِكِينَ
Maksudnya : Dan janganlah sekali-kali mereka dapat menghalangmu dan (menyampaikan) ayat-ayat Allah sesudah ayat-ayat itu diturunkan kepadamu. Dan serulah mereka kepada (jalan) Tuhanmu dan janganlah sekali-kali kamu termasuk mereka yang mempersekutukan Allah.
(Intisari Khutbah di nukil dari ekhutbah January 7 2012)
Bakar al-Quran konspirasi keji
SEJAK kebelakangan ini kaum Muslimin diuji keimanan dan kesabarannya. Betapa tidak, diberitakan tentera Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) membakar al-Quran di Afghanistan minggu lalu.
Kemudian NATO mengeluarkan kenyataan mereka tidak sengaja melakukannya dan memohon maaf.
Serentak dengan itu aksi para penunjuk perasaan dan demonstrasi diadakan di seluruh dunia khususnya di Afghanistan, Pakistan dan lain-lainnya.
Diberitakan dua tentera NATO telah ditembak mati di Afghanistan.
Sebelum itu, pendeta Terry Jones telah membakar al-Quran di Florida, Amerika Syarikat (AS) yang menuduh Islam dan hukum syariah bertanggungjawab atas tercetusnya keganasan dan runtuhnya gedung World Trade Center (WTC) di New York pada 11 September 2001.
“Islam adalah syaitan, agama itu menyebabkan jutaan orang masuk neraka, agama menipu, agama keganasan,” katanya ketika diwawancara CNN, baru-baru ini.
Dalam laman webnya, mereka mengemukakan 10 alasan mengapa al-Quran harus dibakar. Di antaranya, al-Quran dianggap tidak asli, tidak mengakui Jesus sebagai Tuhan dan mengajarkan totalitarisme kekuasaan.
Islam juga dianggap tidak sesuai dengan demokrasi dan Barat. Kebetulan pula hari pembakaran al-Quran itu bertepatan Hari Raya Aidilfitri 1431 hijrah.
Langkah Terry Jones menunjukkan betapa Islamophobia (ketakutan terhadap Islam) merebak luas di kalangan orang AS. Serangan 11 September itu dikatakan dilakukan oleh pengganas Muslim.
Sejak itulah Amerika melancarkan ‘perang melawan pengganas’ atau war on terrorism dengan menjadikan Islam sebagai sasarannya. Pada hal Theiry Meyssan, wartawan dari Perancis menemukan bahawa apa yang dikatakan oleh Amerika dan didukung oleh medianya (yang 90% milik Yahudi) adalah pembohongan besar.
Ia mengungkap temuannya dalam buku berjudul 9/11 The Big Lie America.
Jadi ‘aneh bin ajaib’ jika Terry Jones membuat logikal, WTC runtuh dan pelakunya adalah Muslim yang mendapat inspirasi oleh al-Quran. Sebab itu al-Quran harus dibakar sebagai simbol perlawanan dan permusuhan serta kebencian di mulut dan di hati merekalah yang menjadikan Islam tetap dianggap sebagai agama pengganas.
Kenyataan ini makin menegaskan kebenaran firman Allah SWT yang bermaksud: Orang Yahudi dan Nasrani tidak akan pernah suka kepadamu (wahai Muhammad) sehingga kamu mengikuti agama mereka. (al-Baqarah: 120).
Allah SWT juga menegaskan lagi dengan firman-Nya yang bermaksud: Mereka (kaum kafirin) tidak pernah berhenti (menimbulkan kemudaratan atas kamu). Mereka menyukai apa yang menyusahkan kamu. Telah nyata kebencian dari mulut mereka dan apa yang disembunyikan oleh hati mereka adalah lebih besar lagi (bahayanya). (ali-Imran: 118).
Seharusnya penguasa negara-negara Muslim, melalui diplomasi luar negaranya boleh menekan dan berbudi bicara mengenai kes-kes seperti ini agar tidak berulang.
Harus bersikap tegas dan serius serta tidak ingin kejadian ini akan melahirkan akibat lebih buruk lagi dalam kehidupan bermasyarakat dan bernegara. Umat Islam tentu dapat memberi respons dengan cara mereka sendiri bagi mengelak kejadian ini agar tidak bertambah parah.
Sabar ada had
Kesabaran umat Islam pun ada had dan batasannya jika diuji. Kerana itu setiap agama di dunia ini mahu hidup dengan harmoni, dengan lain kata pengharaman membakar kitab-kitab agama masing-masing adalah dilarang sekeras-kerasnya.
Para penguasa Muslim harus mencontohi para khalifah dahulu, di mana Perancis pernah merancang pertunjukan drama yang diambil dari hasil karya Voltaire.
Isinya bertema ‘Muhammad atau kefanatikan’. Di samping mencaci Rasulullah SAW, drama tersebut menghina Zaid dan Zainab.
Waktu itu Sultan Abdul Hamid menjadi khalifah Usmaniyah, beliau mengetahui berita tersebut melalui dutanya di Perancis. Beliau segera mengancam pemerintah Perancis agar menghentikan pementasan drama tersebut. Beliau seterusnya mengingatkan bahawa ada ‘tindakan politik’ yang akan dihadapi Perancis jika mahu meneruskan dan mengizinkan pementasan itu. Perancis akhirnya membatalkannya.
Jelas hakikat drama itu sama dengan hakikat berbagai penghinaan kaum kafir Barat terhadap Islam dan umatnya ketika ini.
Bermula dengan karikatur Nabi SAW di Denmark, pelarangan jilbab dan merosakkan masjid di Eropah, hingga entah apa lagi yang akan diperbuat mereka untuk menghina al-Quran, Nabi Muhammad SAW, sekali gus juga sebagai mencabar Allah SWT.
Oleh itu, demi kemuliaan Islam dan kaum muslimin, demi al-Quran dan Rasulullah SAW serta demi keredaan Allah SWT, kita haruslah menangani masalah serius ini mengajak ummah menegakkan kebenaran abadi dan membela agama Allah di bumi ini.
Ini supaya Islam tidak dipijak-pijak dan dihina-hinakan oleh kaum kafirin. Ya Allah, Ya Rabb, tolongilah kami dari kaum kafirin. Kerana itu, saksikanlah. Amin Ya Rabbal Alamin.
(Oleh IBRAHIM ABDULLAH – Utusan Malaysia 2hb Mac 2012)
Orang awam lebih selamat kekal berpegang kepada Imam Mazhab
Hari ini ramai ulama amilin yang sudah pergi meninggalkan kita (wafat).Atas pemergian mereka Ilmu agama tulin pun makin lama makin terhakis, berkurangan dan hampir lesap. Semangat orang awam untuk mendalami ilmu agama pun semakin lemah.Sedangkan kini pula, hadis2 sudah banyak yg di pesongkan dan di palsukan, banyak pula aliran yang sesat.Ada juga Ilmuwan agama yang sebenarnya tidak hafal,fasih dan mahir Quran dan Hadis.Tetapi berlagak pakar dalam bidang itu untuk menolak beberapa pendapat imam imam mazhab.Sedangkan di manakah status mereka berbanding dengan imam imam mazhab.Para Imam Mazhab itu hafal Al Qur’an pada usia kanak kanak lagi dan menguasai hingga berjuta hadis.
Ramai ilmuwan era ini mempunyai jiwa yang bergelumang dengan hawa nafsu, masing masing berasa bangga dengan pendapat sendiri.Hingga gamak menolak pendapat Imam Imam mazhab yang sudah berkurun kurun di amalkan seluruh umat Islam.Ulama ulama ini pada menolak mazhab,pada dasarnya mereka sendiri sedang mencipta mazhab sendiri sebenarnya.
Bagi orang awam macam kita bagaimana harus kita hadapi situasi begini?
Adalah lebih selamat kita tetap berpegang pada Imam Mazhab saperti Imam Shafie,Hanafi, Malik dan Hanbali kerana kitab kitab dan syarah syarah mereka tetapi asli hingga ke hari ini.Mereka terkenal dengan kesolehan, warak, khasyyah (takut Allah) dan mempunyai ilmu yang sangat tinggi.Mengikut mereka bererti mengikut golongan salafusoleh, golongan yang dijamin oleh Rasulullah saw.Lagi pun Imam Imam mazhab hidup di zaman yang sebaik baik zaman saperti yang di jamin oleh Rasulullah saw saperti yang di sebut dalam hadis hadis ini:
Rasulullah saw bersabda,
“Sebaik-baik manusia adalah generasiku (sahabat), kemudian orang-orang sesudah mereka (tabi’in), kemudian orang-orang sesudah mereka (tabi’ut tabi’in).”
“Sebaik-baik manusia adalah generasiku (sahabat), kemudian orang-orang sesudah mereka (tabi’in), kemudian orang-orang sesudah mereka (tabi’ut tabi’in).”
“Sebaik-baik zaman adalah zamanku (zaman para sahabat), kemudian yang setelahnya (zaman tabi’in), kemudian yang setelahnya (zaman tabi’ut tabi’in).”
(HR. Bukhari no. 6429 dan Muslim no. 2533 hadits ini adalah Mutawatir).
(HR. Bukhari no. 6429 dan Muslim no. 2533 hadits ini adalah Mutawatir).
Hadis ini secara tidak langsung menyentuh tentang Imam imam mazhab yang 4 kerana mereka hidup di sekitar tiga kurun yang di maksudkan hadis tersebut.Imam Hanafi lahir pada tahun 80H.Imam Malik lahir pada 93H.Imam Syafie lahir pada 150H dan Imam Ahmad pada 164H.
Ramai para ulama hadis sendiri juga bermazhab.Imam Tirmizi , Imam Nawawi, dan Imam Ibnu Hajar umpamanya bermazhab Syafie.Imam mujaddid saperti Imam al Ghazali, Imam Sayuti dan Imam Abu Hassan Ashaari pun bermazhab Shafie.Bahkan beratus ratus ulama yang bertaraf mujtahid dan yang pernah mengarang kitab kitab besar juga bermazhab.
Tiba tiba ilmuwan era baru zaman ini melaung laung menyuruh umat mengikut al Quran dan Hadis dan menolak bermazhab.Mungkin mereka rasa diri sudah terlalu hebat mengatasi kehebatan imam imam mazhab.
Adakah ke empat empat imam mazhab itu tidak ikut dan berpandukan al Quran dan Hadis? Sebenarnya martabat para imam mazhab yang empat bertaraf “mujtahid mutlak” .Iaitu mereka lah orang yang paling faham tentang al Quran dan Hadis.Penguasaan mereka dalam bidang hadis tidak boleh di pertikaikan hingga kini.Imam Ahmad menghafal berjuta hadis dan mengarang “Kitab al Musnad” yang sangat terkenal
.Imam malik mengarang “Kitab al Muwaththa”.Imam Shafie mengarang “Kitab Mukhtalaf al Hadis” dan menghafal seluruh hadis dalam “al Muwaththa”.Imam Hanafi mengarang “Kitab al hadis al Wasith”.
.Imam malik mengarang “Kitab al Muwaththa”.Imam Shafie mengarang “Kitab Mukhtalaf al Hadis” dan menghafal seluruh hadis dalam “al Muwaththa”.Imam Hanafi mengarang “Kitab al hadis al Wasith”.
Persoalannya, adakah ilmuwan atau ulama era baru kini lebih hebat dalam sudut memahami al Quran dan Hadis daripada Imam Hanafi, Imam Malik, Imam Shafie dan Imam Ahmad sehingga tidak mahu berpegang kepada pendapat dan bermazhab kepada imam imam empat ini?
Rujukan:
- Majalah Q & A bilangan 3 m.s 25
- Ustaz Agus Nizami – Agus nizami.wordpress.com
Subscribe to:
Posts (Atom)