Sunday, 29 April 2012

Bakar al-Quran konspirasi keji



SEJAK kebelakangan ini kaum Muslimin diuji keimanan dan kesabarannya. Betapa tidak, diberitakan tentera Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) membakar al-Quran di Afghanistan minggu lalu.
Kemudian NATO mengeluarkan kenyataan mereka tidak sengaja melakukannya dan memohon maaf.
Serentak dengan itu aksi para penunjuk perasaan dan demonstrasi diadakan di seluruh dunia khususnya di Afghanistan, Pakistan dan lain-lainnya.
Diberitakan dua tentera NATO telah ditembak mati di Afghanistan.
Sebelum itu, pendeta Terry Jones telah membakar al-Quran di Florida, Amerika Syarikat (AS) yang menuduh Islam dan hukum syariah bertanggungjawab atas tercetusnya keganasan dan runtuhnya gedung World Trade Center (WTC) di New York pada 11 September 2001.
“Islam adalah syaitan, agama itu menyebabkan jutaan orang masuk neraka, agama menipu, agama keganasan,” katanya ketika diwawancara CNN, baru-baru ini.
Dalam laman webnya, mereka mengemukakan 10 alasan mengapa al-Quran harus dibakar. Di antaranya, al-Quran dianggap tidak asli, tidak mengakui Jesus sebagai Tuhan dan mengajarkan totalitarisme kekuasaan.
Islam juga dianggap tidak sesuai dengan demokrasi dan Barat. Kebetulan pula hari pembakaran al-Quran itu bertepatan Hari Raya Aidilfitri 1431 hijrah.
Langkah Terry Jones menunjukkan betapa Islamophobia (ketakutan terhadap Islam) merebak luas di kalangan orang AS. Serangan 11 September itu dikatakan dilakukan oleh pengganas Muslim.
Sejak itulah Amerika melancarkan ‘perang melawan pengganas’ atau war on terrorism dengan menjadikan Islam sebagai sasarannya. Pada hal Theiry Meyssan, wartawan dari Perancis menemukan bahawa apa yang dikatakan oleh Amerika dan didukung oleh medianya (yang 90% milik Yahudi) adalah pembohongan besar.
Ia mengungkap temuannya dalam buku berjudul 9/11 The Big Lie America.
Jadi ‘aneh bin ajaib’ jika Terry Jones membuat logikal, WTC runtuh dan pelakunya adalah Muslim yang mendapat inspirasi oleh al-Quran. Sebab itu al-Quran harus dibakar sebagai simbol perlawanan dan permusuhan serta kebencian di mulut dan di hati merekalah yang menjadikan Islam tetap dianggap sebagai agama pengganas.
Kenyataan ini makin menegaskan kebenaran firman Allah SWT yang bermaksud: Orang Yahudi dan Nasrani tidak akan pernah suka kepadamu (wahai Muhammad) sehingga kamu mengikuti agama mereka. (al-Baqarah: 120).
Allah SWT juga menegaskan lagi dengan firman-Nya yang bermaksud: Mereka (kaum kafirin) tidak pernah berhenti (menimbulkan kemudaratan atas kamu). Mereka menyukai apa yang menyusahkan kamu. Telah nyata kebencian dari mulut mereka dan apa yang disembunyikan oleh hati mereka adalah lebih besar lagi (bahayanya). (ali-Imran: 118).
Seharusnya penguasa negara-negara Muslim, melalui diplomasi luar negaranya boleh menekan dan berbudi bicara mengenai kes-kes seperti ini agar tidak berulang.
Harus bersikap tegas dan serius serta tidak ingin kejadian ini akan melahirkan akibat lebih buruk lagi dalam kehidupan bermasyarakat dan bernegara. Umat Islam tentu dapat memberi respons dengan cara mereka sendiri bagi mengelak kejadian ini agar tidak bertambah parah.
Sabar ada had
Kesabaran umat Islam pun ada had dan batasannya jika diuji. Kerana itu setiap agama di dunia ini mahu hidup dengan harmoni, dengan lain kata pengharaman membakar kitab-kitab agama masing-masing adalah dilarang sekeras-kerasnya.
Para penguasa Muslim harus mencontohi para khalifah dahulu, di mana Perancis pernah merancang pertunjukan drama yang diambil dari hasil karya Voltaire.
Isinya bertema ‘Muhammad atau kefanatikan’. Di samping mencaci Rasulullah SAW, drama tersebut menghina Zaid dan Zainab.
Waktu itu Sultan Abdul Hamid menjadi khalifah Usmaniyah, beliau mengetahui berita tersebut melalui dutanya di Perancis. Beliau segera mengancam pemerintah Perancis agar menghentikan pementasan drama tersebut. Beliau seterusnya mengingatkan bahawa ada ‘tindakan politik’ yang akan dihadapi Perancis jika mahu meneruskan dan mengizinkan pementasan itu. Perancis akhirnya membatalkannya.
Jelas hakikat drama itu sama dengan hakikat berbagai penghinaan kaum kafir Barat terhadap Islam dan umatnya ketika ini.
Bermula dengan karikatur Nabi SAW di Denmark, pelarangan jilbab dan merosakkan masjid di Eropah, hingga entah apa lagi yang akan diperbuat mereka untuk menghina al-Quran, Nabi Muhammad SAW, sekali gus juga sebagai mencabar Allah SWT.
Oleh itu, demi kemuliaan Islam dan kaum muslimin, demi al-Quran dan Rasulullah SAW serta demi keredaan Allah SWT, kita haruslah menangani masalah serius ini mengajak ummah menegakkan kebenaran abadi dan membela agama Allah di bumi ini.
Ini supaya Islam tidak dipijak-pijak dan dihina-hinakan oleh kaum kafirin. Ya Allah, Ya Rabb, tolongilah kami dari kaum kafirin. Kerana itu, saksikanlah. Amin Ya Rabbal Alamin.
(Oleh IBRAHIM ABDULLAH – Utusan Malaysia 2hb Mac 2012)

No comments:

Post a Comment